comscore
Tumpuan :
Jenayah

Adik Disyaki Jadi Mangsa Dera – Polis

IPOH: Adik kepada kanak-kanak perempuan yang meninggal dunia awal pagi semalam disyaki turut didera oleh ibu dan bapa saudaranya.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata kanak-kanak lelaki berusia enam tahun itu sedang dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini kerana terdapat kesan kecederaan fizikal lama dan baharu pada tubuh badan mangsa dipercayai akibat didera.

“Terdapat kesan kecederaan fizikal lama dan baharu pada mangsa dipercayai akibat didera oleh suspek sama yang mendera kanak-kanak berusia lapan tahun iaitu kakak mangsa sehingga meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pagi tadi, pasangan suami isteri berusia 40 tahun itu ditahan semalam susulan kematian kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang meninggal dunia disyaki kerana didera direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Perintah reman keatas kedua-dua mereka yang beralamat di Jitra, Kedah itu dikeluarkan Majistret Anis Hanini Abdullah selepas menerima permohonan daripada pihak polis di Mahkamah Majistret Ipoh.

Semalam, Mior Faridalathrash dilaporkan berkata penahanan kedua-dua suspek dibuat susulan laporan kematian kanak-kanak perempuan itu daripada pegawai perubatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini pada kira-kira 3.14 pagi.

Beliau berkata pegawai perubatan itu membuat laporan bahawa jabatan terbabit menerima seorang pesakit kanak-kanak yang dibawa menaiki ambulans dan disahkan meninggal dunia pada kira-kira 1.45 pagi.

Katanya bedah siasat telah djalankan oleh pakar patologi Jabatan Forensik HRPB dan didapati punca kematian adalah akibat pelbagai kecederaan disebabkan oleh benda tumpul.

Difahamkan, kanak-kanak lelaki itu pula diselamatkan pihak polis di sebuah rumah di Desa Pengkalan Bandaraya di sini malam tadi selepas menerima maklumat kes penderaan sebelum dibawa ke HRPB untuk dirawat.– BERNAMA

Loading...
Terkini