comscore
Tumpuan :
Jenayah

Ahli perniagaan dirompak RM3.5 juta: Polis minta diberi ruang siasat

 

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Polis memerlukan ruang bagi menjalankan siasatan berhubung kes pecah masuk membabitkan kerugian RM3.5 juta di rumah seorang ahli perniagaan di Padang Balang kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, siasatan kes itu masih dijalankan bagi mengesan suspek yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

“Kita (polis) masih jalankan siasatan dan kita percaya akan ada perkembangan positif dalam masa terdekat ini,” katanya pada sidang media selepas majlis Hi Tea anjuran Polis Kuala Lumpur di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob, ketua polis daerah dan ketua jabatan Kuala Lumpur.

Sebelum ini, polis mengesahkan siasatan secara menyeluruh termasuk mengambil keterangan ahli keluarga usahawan wanita yang dilaporkan kerugian RM3.5 juta ekoran kejadian pecah masuk di rumahnya.

Datuk Allaudeen dipetik berkata, pihaknya telah mengambil keterangan ahli perniagaan berkenaan bagi membantu siasatan.

Terdahulu, media melaporkan seorang ahli perniagaan wanita kerugian RM3.5 juta selepas peti besi yang mengandungi jongkong emas dan wang tunai dilarikan dalam kejadian di Padang Balang kelmarin.

Suspek turut melarikan beberapa beg tangan pelbagai jenama dalam kejadian antara pukul 10 malam dan 12 tengah malam itu.

Difahamkan ketika rumah itu dipecah masuk, penghuninya tiada di rumah selain kamera litar tertutup (CCTV) kediaman berkenaan turut dirosakkan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini