comscore
Tumpuan :
Jenayah

Akibat sering diperli, lelaki letupkan bom buatan sendiri depan rumah jiran

Bungkusan mengandungi bahan letupan buatan sendiri (IED) – Foto NSTP

KEPALA BATAS: Lelaki yang ditahan berhubung penemuan satu bungkusan mengandungi bahan letupan buatan sendiri (IED) di Mak Mandin dekat sini pada Ahad lalu, dipercayai sudah bertindak meletupkan bahan itu di hadapan rumah jirannya kerana marahkan keluarga terbabit.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie berkata, berdasarkan siasatan awal, lelaki tempatan berusia 32 tahun itu bertindak sedemikian kerana mendakwa lelaki warga emas yang juga jirannya, sering memerlinya.

“Suspek mendakwa jirannya selalu perli dirinya dan sebab itu bertindak meletupkan bahan itu bagi menakutkan serta memberi amaran kepada jiran berkenaan.

“Suspek meletakkan bahan letupan terbabit di hadapan rumah jirannya di tingkat empat Flat Taman Pandan itu sebelum meletupkannya sehingga menyebabkan bahagian jeriji besi pintu rumah dan koridor di situ rosak akibat letupan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Mohd Asri berkata, kejadian letupan itu bagaimanapun tidak menyebabkan penghuni rumah berkenaan cedera.

Beliau berkata, polis ketika ini giat menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti sama ada lelaki yang ditahan itu terbabit dengan jenayah lain kerana selain IED, pihaknya turut merampas sepucuk pistol buatan sendiri dan kerambit daripadanya.

“Siasatan terperinci termasuk membabitkan pasukan polis dari Bukit Aman (ke sini) sedang dijalankan bagi mengenal pasti latar belakang lelaki itu dan sejauh mana dia mempunyai kemahiran untuk menghasilkan bahan letupan terbabit sama ada untuk jenayah atau dijual kepada sesiapa,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki yang bekerja kilang itu bertindak sendirian termasuk menghasilkan sendiri IED itu dengan cara mempelajari daripada YouTube, manakala bahan-bahannya diperoleh melalui pembelian dalam platform e-dagang.

“Setakat ini, polis mendapati dia menghasilkan bahan letupan itu sendirian dan tidak terbabit dengan mana-mana rangkaian sindiket jenayah.

“Kami juga sedang jalankan siasatan lanjut terhadap rakan serumahnya iaitu wanita warga Indonesia berusia 38 tahun yang ditahan bersama lelaki berkenaan,” katanya.

Semalam, polis menahan seorang lelaki tempatan dan rakan serumahnya seorang wanita warga asing susulan penemuan satu bungkusan mengandungi IED di tingkat empat Flat Taman Pandan selepas pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita memaklumkan terdengar bunyi letupan di hadapan sebuah rumah pada 12.57 tengah hari, Ahad lalu.

Hasil pemeriksaan mendapati bahan letupan terbabit ialah improvised explosive device (IED) dan polis kemudiannya menahan mereka sebelum menemukan satu lagi IED, selain sepucuk pistol buatan sendiri dan kerambit serta peralatan untuk membuat bahan letupan berkenaan.

Loading...
Terkini