
KLUANG: Seorang eksekutif kanan sebuah syarikat perumahan cedera parah selepas dipukul oleh seorang lelaki dikenali sebagai Jep Hong Kong akibat tidak berpuas hati dengan kerja pembaikan rumah.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, mangsa, Md Feries Sallih, mengalami kecederaan di kepala dan patah jari tengah di tangan kiri.
Menurutnya, suspek, Jeffrey Ismail, 38, yang juga seorang kontraktor, bertindak memukul kepala mangsa beberapa kali menggunakan beg berisi telefon serta menumbuk dada kiri mangsa.
“Pada Jumaat lalu, sekitar jam 3.30 petang, mangsa telah pergi ke rumah suspek di Meridian Taman Kluang Barat, Kluang, Johor, untuk berbincang mengenai kerja pembaikan rumah seperti aduan yang dikemukakan oleh suspek.
“Namun, suspek yang tidak berpuas hati telah memarahi mangsa sebelum bertindak menendang belakangnya, merampas beg mangsa, dan mencederakannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang dan permohonan tahanan reman akan dibuat esok untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda.
Bahrin turut menjelaskan bahawa suspek sebelum ini membeli sebuah rumah di kawasan tersebut dan telah mengemukakan aduan mengenai kerosakan di rumahnya.
Terdahulu, pihak polis mengeluarkan kenyataan di media sosial bagi mengesan suspek yang menjadi individu dikehendaki untuk membantu siasatan kes berkenaan, yang mendapat perhatian meluas orang ramai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.