comscore
Tumpuan :
Jenayah

Akses mudah media sosial, pornografi punca masalah sosial kanak-kanak – Polis

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Akses terlalu mudah kepada media sosial terutamanya kandungan berunsur seks adalah antara penyebab masalah sosial dalam kalangan kanak-kanak masa kini.

Pengarah Jabatan Penyiasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata perkara itu berlaku kerana kanak-kanak mudah mendapatkan akses kepada perkara-perkara negatif khususnya kandungan pornografi yang terkandung dalam sosial media.

“Kanak-kanak ini (sifatnya) dia nak terokai sesuatu dia nampak seperti orang buat hubungan seks jadi mereka nak buat kerana perkara ini, boleh berlaku kerana capaian terlalu mudah dan mereka banyak terdedah dengan pelbagai perkara negatif,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Persidangan Kawal Selia Antarabangsa bertajuk ‘Kepentingan Dasar, Kawal Selia dan Penyelesaian Teknologi yang Efektif untuk Ruang Dalam Talian Lebih Selamat’ (Significance of Effective Policy, Regulatory, and Technological Solutions for a Safer Online Space) sebagai panel di sini hari ini.

Mengambil contoh budak perempuan berumur sembilan tahun dirogol secara berkumpulan, beliau berkata kes tersebut merupakan antara eksploitasi seksual dalam talian.

“Insiden itu berlaku tahun lepas dan untuk kes ini kami membuka kertas penyiasatan kerana ini adalah suatu trend baharu dalam generasi baharu. Berdasarkan penyiasatan kami, budak perempuan itu bersetuju diperlakukan demikian kerana dia mahu membayar hutang,” katanya.

Beliau berkata budak perempuan itu telah merosakkan pemadam yang dipinjamnya daripada seorang rakan kelas dan mahu bertanggungjawab dengan bersetuju kepada perlakuan itu sebagai pampasan kerana tidak cukup duit untuk membeli pemadam baharu.

Shuhaily berkata selain menurunkan pornografi, polis juga bertanggungjawab mencegah penyebaran kandungan berunsur seks.

“Penyedia platform dan pengawal selia mempunyai tugas dan tanggungjawab besar untuk memastikan kandungan sensitif seperti ini tidak dipaparkan bukan sahaja perkara berkaitan seks tetapi juga perkara lain (yang negatif),” katanya.

Dalam sesi perbincangan, Ketua Perlindungan Kanak-Kanak, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, Saskia Blume berkata kira-kira empat peratus kumpulan itu, bersamaan kira-kira 100,000 kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun di Malaysia telah dieksplotasi secara seksual dalam talian.

“Kami melihat kes-kes meningkat mendadak seperti peras ugut, terlibat dalam aktiviti seksual, dan berkongsi imej tanpa kebenaran atau dipaksa terlibat dalam aktiviti seksual atas dasar janji,” katanya.

Menurutnya UNICEF turut menjalankan kajian terhadap golongan muda mengenai harapan mereka berhubung isu ini.

“Tiga perkara utama yang dibangkitkan mereka: pertama ialah penerapan ciri-ciri keselamatan dan ciri-ciri keselamatan berfokuskan kanak-kanak, diikuti permintaan dan idea yang kukuh.

“Kedua, literasi digital bukan sahaja untuk kanak-kanak malah untuk ibu bapa, penjaga dan guru dan akhirnya mekanisme membuat laporan yang mesra kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi Datuk Idham Nawawi berkata 2023 merekodkan tahun paling ekstrem penderaan kanak-kanak dalam talian.

“Saya berpendapat, kerana banyak yang berlaku hari ini tidak lagi berlaku di jalanan, bilik hotel, tetapi berlaku dalam bilik tidur mereka kerana kita semua mempunyai akses kepada platform teknologi,” katanya sambil menambah sangat penting bagi semua pihak bekerjasama untuk mencegah isu ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Dasar Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Kementerian Pos dan Telekomunikasi Kemboja Sodany Tan berkata negaranya mempunyai garis panduan perlindungan dalam talian kanak-kanak sendiri yang dibangunkan, dipantau, dilaksanakan dan dinilai, bagi memastikan syarikat-syarikat melaksanakan tanggungjawab mereka mencegah rangkaian atau perkhidmatan dalam talian mereka digunakan dalam cara yang menyebabkan atau menyumbang kepada pelanggaran atau penderaan hak kanak-kanak. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini