comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Along pindah milik kenderaan peminjam

 

 

KUALA LUMPUR: Sindiket pinjaman wang tanpa lesen (along) dikesan menggunakan modus operandi baharu dalam menawarkan pinjaman.

Melalui kaedah itu, peminjam yang ingin meminjam wang dari syarikat terbabit dikehendaki menyerahkan kenderaan mereka kepada syarikat sebagai jaminan.

Perkara itu terbongkar selepas Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) menyerbu sebuah premis dipercayai ‘pejabat along’ di Sungai Besi, ibu negara pada 11 Mac lalu.

Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata serbuan berjaya menahan 14 individu warga tempatan terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf (tengah) pada sidang media kes operasi khas pinjaman tanpa lesen di Jabatan Siasatan Jenayah Kormesil Bukit Aman, Menara KPJ. FOTO: NSTP

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati sindiket berkenaan beroperasi di bawah sebuah syarikat dikenali Renter Solution Tour Sdn Bhd dipercayai menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan mempromosikan aktiviti berkenaan melalui Facebook.

“Untuk mendapatkan pinjaman, peminjam dikehendaki menyerahkan kenderaan mereka kepada syarikat terbabit sebagai jaminan. Proses ini memerlukan pelanggan membayar yuran tambahan seperti bayaran penukaran hakmilik kenderaan dan pemasangan peralatan sistem kedudukan global (GPS),” katanya pada sidang media di Menara KPJ, di sini, hari ini.

Beliau berkata sebelum menerima wang pinjaman, peminjam juga perlu menandatangani surat persetujuan penjualan kenderaan dan perjanjian sewaan.

“Sekiranya pinjaman gagal dilunaskan, pemilikan kenderaan akan ditukar kepada syarikat milik sindiket tanpa pengetahuan peminjam,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramli berkata kegiatan berkenaan terbongkar selepas pihaknya menerima laporan daripada seorang mangsa apabila keretanya daripada jenis Toyota Vellfire ditukar hak milik selepas mangsa membuat pinjaman daripada sindiket terbabit.

Katanya, mangsa juga hanya menerima jumlah wang kira-kira RM16,000 berbanding jumlah pinjaman sebanyak RM20,000 yang dibuat mangsa.

Semua tangkapan ditahan reman sehingga hari ini bagi siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) dan 29AA Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini