Tumpuan :
Jenayah

Angkara dendam, lelaki warga Filipina mati ditetak

BEAUFORT: Dendam dipercayai menjadi motif seorang lelaki warga asing ditetak hingga mati dalam kejadian di Kampung Balibata, di sini, awal pagi tadi.

Mangsa berusia lingkungan 30-an ditemui dalam keadaan terlentang dengan kesan tetakan di bahagian siku lengan kiri dan belakang lehernya.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, hasil siasatan oleh pihak polis mendapati, mangsa lelaki warga Filipina tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terlentang lengkap berpakaian di atas tanah yang berlumuran darah.

“Turut terdapat dua kesan tetakan di bahagian siku lengan kiri dan bahagian belakang leher mangsa yang mana kesan luka ini dipercayai disebabkan tetakan oleh senjata tajam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Susulan itu, katanya Op Tutup serta Op Kesan dilancarkan oleh beliau sendiri bersama sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dan Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah.

“Selepas kira-kira 12 jam operasi dilancarkan, suspek warga Filipina berusia lingkungan 70- berjaya diberkas berhampiran Kampung Balibata, jam 2.30 petang tadi.

“Pasukan operasi turut merampas senjata yang digunakan oleh suspek dalam kejadian itu. Siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan dendam,” katanya.

Menurutnya, suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.

“Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini