comscore
Tumpuan :
Jenayah

APMM gagalkan cubaan seludup jamu

Rosli (tengah) menunjukkan antara barang yang dirampas susulan penahanan bot barter trade di 0.2 batu nautika Pelabuhan Barat Klang, kelmarin.

PELABUHAN KLANG – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mematahkan cubaan menyeludup barangan kosmetik dan jamu bernilai lebih RM300,000 dalam operasi di Pelabuhan Barat Klang, di sini, kelmarin.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Mohammad Rosli Kassim, berkata kejayaan itu hasil tindakan cekap anggota operasi mengesan sebuah bot barter trade yang berada dalam keadaan mencurigakan kira-kira jam 3.40 petang.

Katanya, susulan itu 10 warga Indonesia berusia lingkungan 28 hingga 44 tahun ditahan.

“Pemeriksaan lanjut menemui pelbagai barang kosmetik dan jamu yang tidak diisytihar oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Kita dapati kesemua barang ini disorok di bawah timbunan barangan makanan dan sayuran bagi mengaburi pihak berkuasa. Antaranya adalah magic tissue, jamu, minyak kayu putih, madu, losyen dan ubat gigi,” katanya dalam sidang media di pejabat APMM Selangor, Pelabuhan Klang, di sini hari ini.

Rosli berkata, dianggarkan nilai rampasan barang bernilai RM318,167, manakala bot berkenaan yang bernilai RM300,000 juga turut disita untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati bot terbabit dalam perjalanan dari Tanjung Balai, Indonesia ke Jeti Asa Niaga, Pelabuhan Klang.

“Siasatan masih dijalankan dan kesemua suspek kini direman sembilan hari sehingga Isnin depan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(A) Akta Kastam 1967, Peraturan 7 dan 18A Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Peraturan 130 Peraturan Makanan 1985.

Loading...
Terkini