comscore
Tumpuan :
Jenayah

APMM patahkan cubaan seludup 10,000 liter minyak diesel

Oleh Kumaran Rajamoney

LANGKAWI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot pukat tunda kelas C bersama tiga lelaki warga Thailand selepas dipercayai cuba menyeludup 10,000 liter minyak diesel di kedudukan 5.0 batu nautika barat Tanjung Chincin pada jam 10.40 malam semalam.

Pengarah APMM Negeri Kedah-Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Msutafa dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa bot nelayan terbabit ditahan ketika sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa dihampiri oleh Kapal APMM yang sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Langkawi.

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan, terdapat satu ruang asing yang dibuat di bawah rumah bot yang ditutupi dengan kayu papan lapis.”

“Anggota penguat kuasa kemudian bertindak membongkar kayu papan tersebut dan menemukan dua kotak yang telah diubahsuai menjadi tong minyak tambahan dan mengesyaki bot nelayan ini terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak subsidi,” katanya

Minyak tambahan yang dibawa dianggarkan sebanyak 10,000 liter dengan nilai hampir RM21,500.

Justeru itu, ketiga-tiga lelaki warga Thailand yang berumur lingkungan 22 hingga 59 tahun itu ditahan bersama bot dan dibawa ke Jeti Maritim Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat dibawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan di dalam buku lesen dan Akta Bekalan 1961 iaitu memilik barang-barang kawalan dengan melakukan kesalahan.”

“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 mereka boleh didakwa di mahkamah atas kesalahan melanggar syarat lesen, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih 2 tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Pengusaha bot nelayan tempatan diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

Loading...
Terkini