comscore
Tumpuan :
Jenayah

APMM tahan 6 lelaki warga asing ubah suai tangki minyak bot

Oleh Kumaran Rajamoney

KUALA KEDAH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kuala Kedah menahan enam lelaki warga Thailand dan Kemboja bersama sebuah bot pukat tunda Kelas C selepas dipercayai melakukan pengubahsuaian tangki minyak bot secara tidak sah.

Timbalan Pengarah (Operasi) Zon Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Zool Hilmi Mohd Nadzir berkata penahanan dilakukan di kedudukan 1.5 batu nautika barat daya Kuala Kedah pada jam 5.30 petang semalam.

“Bot nelayan tempatan terbabit ditahan ketika sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan semasa dihampiri oleh bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Kuala Kedah.”

“Ketika pemeriksaan dilakukan ke atas bot berkenaan, terdapat satu ruang asing telah ditambah di atas rumah bot dan ditutupi kayu yang dilakukan bagi mengaburi pihak berkuasa daripada menghidu aktiviti mereka,” katanya.

Anggota penguat kuasa kemudian bertindak memeriksa ruang tersebut dan menemukan sebuah tangki tambahan jenis fiber yang telah diubahsuai dan mengandungi minyak diesel dengan anggaran 700 liter.

Maritim Malaysia mengesyaki bot terbabit terlibat dalam aktiviti penyeludupan minyak disekitar perairan Kuala Kedah.

Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan kesemua mereka berumur dalam lingkungan 30 hingga 61 tahun itu ditahan bersama bot serta dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut.

Nilai anggaran minyak diesel yang cuba diseludup adalah bernilai RM1,505 dan kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Kawalan Bekalan 1961. -BULETIN TV3

Loading...
Terkini