Tumpuan :
Jenayah

APMM Zon Kudat gagalkan cubaan seludup 25 tong petrol ke Filipina

KUDAT: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kudat merampas 25 tong minyak petrol dianggarkan seberat 5,000 liter dipercayai cuba diseludup ke Filipina, 4.30 pagi semalam.

Pengarah Zon Maritim Kudat Komander Maritim Hasbullah Omar berkata operasi khas itu dijalankan di sekitar perairan Pulau Mandi Darah bagi membanteras kegiatan penyeludupan.

Beliau berkata berdasarkan maklumat perisikan, bot ronda zon maritim Kudat diatur gerak ke lokasi sekitar 1.6 batu nautika Timur Laut Telukan Paitan, Pitas bagi mengesan aktiviti terbabit.

“Bot ronda berjaya mengesan satu pergerakan sebuah bot dalam keadaan bergelap dan ketika dihampiri, dua individu yang mengendalikan bot terbabit bertindak terjun ke laut dan cuba untuk meloloskan diri di kawasan paya bakau berhampiran,” katanya dalam kenyataan.

Hasbullah berkata seorang daripada suspek yang berjaya diberkas berumur 28 tahun dan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM25,000 dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Imigresen 1959/63.

— BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini