comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] ATM rampas daun ketum bernilai lebih RM56,000 di sempadan Malaysia-Thailand

 


KUALA NERANG: Angkatan Tentera Malaysia (ATM)menumpaskan cubaan menyeludup 700 kilogram (kg) daun ketum dianggarkan bernilai lebih RM56,000 ke Thailand, di sempadan negara di Padang Terap, semalam.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen), dalam kenyataan hari ini berkata, daun ketum itu dirampas dalam pacuan empat roda di kawasan hutan sempadan sektor OP Benteng Kawasan Tanggungjawab Briged Keenam Infantri Malaysia pada jam 6.30 pagi.

“Pasukan beroperasi yang sedang melaksanakan Pos Pemerhati dan Pendengaran telah menemui sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Pajero yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan di kawasan hutan berdekatan sempadan Malaysia-Thailand.

“Hasil siasatan mendapati 70 bungkusan mengandungi daun ketum dengan berat keseluruhan sebanyak 700kg dengan anggaran nilai sebanyak RM56,000 berada di dalam kenderaan tersebut,” katanya.

Menurut kenyataan itu, semua bungkusan dan kenderaan terbabit dengan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM81,000 diserahkan kepada Balai Polis Kuala Nerang untuk tindakan lanjut.

“Pasukan beroperasi sentiasa mengawal sempadan negara dan akan terus memastikan keselamatan sempadan terpelihara,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini