comscore
Tumpuan :
Jenayah

‘Ayahanda’ ketua pertubuhan haram ditahan

Polis menahan 14 lelaki dipercayai ahli pertubuhan haram menerusi Op Cantas di Inanam, Kota Kinabalu, Rabu lalu. FOTO: Ihsan PDRM Sabah

KOTA KINABALU: Ketua sebuah pertubuhan haram bergelar ‘Ayahanda’ antara 14 ditahan dalam Op Cantas (Gengsterisme) di Inanam Point, Jalan Tuaran, di sini, Rabu lalu.

Semua suspek adalah lelaki berusia 22 hingga 49 tahun ditahan pasukan polis Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dengan dibantu anggota Balai Polis Inanam, jam 10.10 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Senior Asisten Komisioner Polis, Azmi Abd Rahim berkata siasatan awal mendapati mereka mengaku menjadi ahli Pertubuhan Amal Nusantara Bersatu Sabah (ANB) yang tidak didaftarkan.

“Selain itu, ada unsur-unsur kumpulan Double 7 yang diwartakan sebagai pertubuhan haram pada 2013,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azmi berkata operasi itu juga turut menahan seorang lelaki dipercayai ketua pertubuhan ANB Bersatu di Sabah dengan gelaran ‘Ayah Abu Nilam Bersatu’.

Antara yang dirampas, sepucuk senjata api mainan menyerupai pistol C15, sebilah pisau pemotong daging berserta sarung dan sebilah pedang samurai.

“Selain itu, rampasan membabitkan 20 keping ‘sticker’ tertera logo kumpulan, kad ahli, 12 telefon bimbit dan empat kereta pelbagai jenis tertera sticker pertubuhan ANB dan kumpulan Double 7,” katanya.

Menurut Azmi, siasatan juga mendapati pertubuhan berkenaan kini mempunyai seramai 100 ahli di sekitar Kota Kinabalu, Kota Belud, Ranau, Semporna dan Sandakan.

Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 50 Akta Pertubuhan 1966.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini