comscore
Tumpuan :
Jenayah

Azi Mungkin Sudah Dibawa Jauh Ke Bangkok Atau Sempadan Thailand-Myanmar

Ejen kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, didakwa dilarikan sekumpulan lelaki ke negara jiran.

TUMPAT : Polis Thailand giat meneruskan operasi mengesan seorang ejen kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, yang didakwa dilarikan sekumpulan lelaki ke negara jiran.

Menurut sumber pihak berkuasa Thailand, pencarian dibuat di banyak premis termasuk semua resort di Narathiwat yang dikenal pasti dijadikan tempat persembunyian.

“Sejak hari pertama kehilangan mangsa lagi kami menjalankan operasi mengesan selama 24 jam namun setakat ini pencarian masih belum berhasil.

“Serbuan sudah dibuat di semua premis yang berpotensi dijadikan tempat persembunyian termasuk chalet dan resort di sekitar Narathiwat,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Sumber memberitahu ada kemungkinan mangsa sudah dibawa lebih jauh iaitu Bangkok atau sempadan Thailand-Myanmar.

Dalam kejadian jam 5.10 petang Selasa lalu, mangsa dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini.

Wanita itu dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan terdapat penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam hari yang sama di Kampung Kuala Jambu, Pengkalan Kubor.

Susulan itu, polis sudah menahan tiga individu termasuk suami mangsa dan seorang wanita berusia 35 hingga 47 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3(1) Akta Culik 1961. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini