comscore
Tumpuan :
Jenayah

Baling pemadam pensel cetus pergaduhan beberapa pelajar

JOHOR BAHRU: Beberapa pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah menengah dekat Kempas, bergaduh sesama sendiri kerana tidak puas hati dengan insiden baling pemadam pensel, semalam.

Perselisihan faham dipercayai menjadi punca pergaduhan menyebabkan kecederaan kepada beberapa pelajar itu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.43 petang semalam.

Katanya, kejadian berlaku di hadapan sebuah sekolah menengah sekitar Kempas di sini.

“Siasatan polis mendapati kejadian berlaku berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang pelajar yang dibaling pemadam pensel oleh rakan sekelasnya dua hari sebelum kejadian itu,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, akibat pergaduhan itu, beberapa orang pelajar terpaksa dikejarkan untuk rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), kerana luka di kepala, lebam pada kaki dan tangan.

Katanya, susulan kejadian berkenaan, pihaknya ada membuat beberapa tangkapan dalam kalangan pelajar terbabit yang kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, Balveer Singh menasihati masyarakat tidak mensensasikan isu itu sehingga boleh menjejas keharmonian memandangkan siasatan masih lagi dijalankan.

“Masyarakat juga dinasihatkan bersikap rasional dalam menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi dan janganlah melakukan sebarang perbuatan melulu sehingga boleh dikenakan tindakan undang-undang,” pesannya.

Loading...
Terkini