comscore
Tumpuan :
Jenayah

Banduan lolos dari Hospital Sungai Buloh ditahan semula

KUALA LUMPUR: Banduan lelaki yang melarikan diri ketika menerima rawatan di unit kecemasan Hospital Sungai Buloh, Selangor pada 18 September lalu, berjaya ditahan semula, hari ini.

Jabatan Penjara Malaysia dalam kenyataan, hari ini, memaklumkan banduan reman terbabit ditahan oleh pegawai penjara kira-kira jam 11 pagi tadi di Terminal Bas Rapid Kuantan, Pahang.

“Tangkapan itu dibuat berdasarkan hasil siasatan dan maklumat yang diterima daripada orang awam.

“Banduan berkenaan kemudian diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan syor dari Lembaga Siasatan, Jabatan Penjara akan mengambil tindakan tegas kepada mana-mana individu didapati cuai dalam menjalankan tugas hingga menyebabkan kejadian itu.

“Jabatan Penjara juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang awam serta mana-mana pihak yang membantu operasi pencarian ini,” katanya.

Terdahulu polis mengesan seorang banduan lelaki yang melarikan diri ketika menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dipetik berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 3.56 petang pada 18 September lalu.

Katanya, pihak polis dimaklumkan bahawa banduan terbabit iaitu A Kalai Kumar, 27, disyaki melarikan diri selepas didapati tiada di katilnya di hospital berkenaan.

Menurutnya, banduan berkenaan mempunyai lapan rekod membabitkan kes jenayah serta kesalahan narkotik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini