comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bank halang 1,632 kes penipuan, selamatkan wang pelanggan hampir RM11.7 juta 

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) berjaya mengesan dan menghalang 1,632 kes berkaitan penipuan, sekali gus menyelamatkan wang simpanan pelanggan berjumlah RM11,682,813.19 dalam tempoh empat bulan sejak Januari tahun ini.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Bank Islam Mohamed, Iran Moriff Mohd Shariff berkata, ia adalah hasil tindakan pantas kakitangan bank yang digelar ‘Bank Islam Heroes’ kerana berjaya menumpaskan kegiatan penipuan itu.

“Contohnya baru-baru ini ‘Bank Islam Heroes’ kami di cawangan Taman Bukit Indah, Johor Bahru berjaya memintas dan menghentikan cubaan tipu ‘love scam’, sekali gus menyelamatkan lebih RM200,000 wang simpanan pelanggan.

“Dalam satu kes lain di Wangsa Maju, Kuala Lumpur, kakitangan bank berjaya menyelamatkan seorang pelanggan daripada menjadi mangsa ‘phone scam’ yang melibatkan aplikasi perisian hasad atau malware. Alhamdullilah, ia menyelamatkan pelanggan daripada kehilangan wang RM500,000,” katanya kepada Bernama, baru-baru ini.

Mohamed Iran Moriff berkata, pihaknya akan sentiasa berusaha mendidik masyarakat menerusi pelbagai inisiatif bagi mengelak penipuan, antaranya dengan menyediakan poster berkaitan perkara itu di 135 cawangannya di seluruh negara.

Beliau berkata Bank Islam juga menyediakan pelbagai ciri-ciri keselamatan bagi melindungi dana pelanggan daripada penipuan, antaranya peralihan kaedah penghantaran sistem pesanan ringkas (SMS) kata laluan sekali sahaja (OTP) kepada kaedah pengesahan yang lebih selamat.

“Selain itu ada pelaksanaan pengesahan dan tempoh bertenang (cooling-off periof ) untuk perkhidmatan perbankan elektronik, dan membenarkan pendaftaran untuk satu peranti mudah alih,” katanya selain menambah, pelanggan juga boleh menghubungi talian khas 03-26900900 yang beroperasi 24 jam sekiranya ada sebarang aduan berhubung penipuan.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini