comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Bapa dan anak ditahan, jadikan rumah sebagai stor dadah

 

GEORGE TOWN: Seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), bapa dan rakan ditahan di sini, semalam kerana disyaki terbabit dengan sindiket pengedaran dadah bernilai RM559,156.

Penahanan ketiga-tiga lelaki itu dilakukan dalam dua serbuan berasingan menerusi Op Tapis membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya antara jam 1.15 hingga 3 pagi.

Rampasan bungkusan dadah heroin anggaran berat 17,830 gram, bungkusan dadah syabu anggaran berat 8,293 gram dan 40 bungkusan dadah ganja anggaran berat 37,688 dan jumlah keseluruhannya bernilai RM559,156.00 pada sidang media di Dewan Latihan Tingkat 6, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di sini hari ini.- Foto: NSTP

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Superintendan V Saravanan berkata, terdahulu dua suspek pertama yang berusia 52 dan 43 tahun ditahan dalam sebuah kereta di tepi jalan di Air Itam sebelum polis menemukan sejumlah dadah.

Penahanan itu membawa kepada serbuan terhadap sebuah unit apartment di Sungai Ara dan menahan seorang lelaki berusia 19 tahun yang juga anak kepada suspek pertama.

“Pemeriksaan terhadap rumah berkenaan menemukan puluhan bungkusan dadah jenis heroin, syabu dan ganja.

Foto: NSTP

“Berdasarkan penemuan beberapa barangan, polis percaya unit kediaman itu dijadikan sebagai stor penyimpanan dadah berkenaan,” katanya pada sidang media di IPD Timur Laut, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Saravanan berkata, hasil risikan mendapati sindiket berkenaan bergiat aktif sejak awal September lalu bagi pasaran tempatan dan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 206,510 penagih jika ia dipasarkan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis amphetamine serta methamphetamine dan dua daripadanya mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

“Kesemua tangkapan direman selama tujuh hari sehingga 8 November ini bagi membantu siasatan,” katanya lagi.

Menurut Saravanan, kesemua suspek yang tidak bekerja itu dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ dan siasatan masih dilakukan bagi mengenalpasti di mana mereka mendapatkan bekalan dadah itu.

“Tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta 1988) yang mana sebuah kenderaan turut disita manakala keseluruhan rampasan dadah dan sitaan berjumlah RM584,256,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39b Akta Dadah Berbahaya 1952.

Loading...
Terkini