comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bawa anak OKU, samun kedai serbaneka

Foto hiasan

MELAKA: Seorang bapa disyaki sanggup mempergunakan anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam melakukan samun di sebuah kedai serbaneka, di Batu Berendam, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata pihaknya menerima maklumat membabitkan kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu daripada pekerja premis memaklumkan kedainya disamun.

Beliau berkata, wanita terbabit memberitahu dia disamun seorang lelaki bersenjatakan pisau dan turut membawa seorang kanak-kanak lelaki.

Suspek didakwa turut melarikan wang tunai kira-kira RM197 dan tiga kotak rokok bersamanya.

Susulan laporan diterima, gerakan memburu suspek dijalankan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, bersama pasukan Task Force dari Balai Polis Batu Berendam.

Suspek berusia 32 tahun itu berjaya ditangkap kira-kira jam 6 petang, di kawasan Bukit Piatu.

Turut ditahan bersama suspek adalah anaknya yang berusia 12 tahun, selain merampas wang tunai dan satu kotak rokok serta pakaian dipakai ketika kejadian.

Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang juga penganggur adalah positif dadah, malah semakan lanjut mendapati dia turut mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes jenayah serta dadah.

Suspek direman lima hari sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, manakala anaknya pula dibebaskan dengan jaminan polis.

Dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh kurang 24 jam.

Loading...
Terkini