comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Bayi 4 bulan patah tulang paha, dipercayai dipulas pengasuh

 

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Seorang bayi berusia empat bulan patah tulang paha kanan dipercayai ketika dalam jagaan di rumah pengasuh di Dengkil.

Bapa kepada Nur Qaseh Neliya, Muhammad Faridzuwan Kamaruddin berkata kejadian berlaku 15 November lalu, apabila dia dihubungi pengasuh anaknya kira-kira jam 5:45 petang memaklumkan kaki anaknya patah.

“Dia tanya, abang lambat lagi ke balik, tadi Qaseh (bayi) menggeliat dan terdengar bunyi ‘pop’. Kaki dia patah ni. Dari situ saya sudah tidak sedap hati. Dia telefon sambil drama hendak menangis,” ceritanya ketika dihubungi Buletin TV3.

Dia dan isteri kemudian segera menjemput anaknya dari rumah pengasuh dan terus membawanya ke hospital pakar swasta di Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Selepas X-Ray, doktor dekat situ beritahu ini bukan kesan menggeliat atau terjatuh. Tapi ni kesan kena pulas. Kemudian doktor tunjuk demo kepada saya,” jelasnya.

Menurut Muhammad Faridzuwan, doktor terbabit  meminta bayinya dirujuk ke Hospital Serdang untuk rawatan lanjut.

“Doktor di Hospital Serdang pun mengatakan benda yang sama. Ada unsur penderaan pada anak saya,” tambahnya.

Nur Qaseh telah dibenarkan keluar dari hospital semalam dan kini dipantau di rumah.

Muhammad Faridzuwan mendakwa, kejadian itu bukan pertama kali menimpa anak pertamanya yang baru dua bulan dihantar untuk dijaga pengasuh terbabit.

Katanya, pada 17 Oktober, lalu kedua-dua belah pipi anaknya pernah lebam.

“Alasan dia terkena gelang semasa pangku anak saya. Pada malam kejadian saya terus bawa anak ke klinik. Tetapi doktor cakap ini bukan kesan kena gelang tetapi ditekan. Saya masih bersangka baik lagi pada masa itu,” ujarnya.

Katanya, ketika itu, dia tidak membuat laporan polis, tetapi untuk insiden terbaharu ini,  laporan polis telah dibuat kelmarin di Balai Polis Dengkil.

Setakat ini, Muhammad Faridzuwan berkata, dia tidak berhubung langsung dengan pengasuh berkenaan sebaliknya bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.

Pengasuh berumur 25 tahun, sudah berkahwin dan tidak mempunyai anak.

Sedih dan kecewa dengan insiden yang menimpa anaknya, Muhammad Faridzuwan  mahu ia dihebahkan agar ibu bapa termasuk pengasuh lebih peka terhadap keselamatan bayi selain memahami risiko menghantar anak untuk dijaga orang lain.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof mengesahkan menerima laporan dibuat bapa mangsa pada 15 November lalu.

Loading...
Terkini