Tumpuan :
Jenayah

Bekalan mercun, bunga api sempena Tahun Baharu Cina dirampas

Raizam menunjukkan mercun dan bunga api yang dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Beranang, di sini pada 14 Januari lalu.

SEPANG: Sebanyak 1,330 kotak mercun dan bunga api dipercayai untuk bekalan sempena Tahun Baharu Cina dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam serbuan di sebuah gudang di Beranang di sini, pada 14 Januari lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa@Mustapa berkata, mercun dan bunga api yang dirampas itu bernilai RM629,320 dengan jumlah cukai sebanyak RM377,592.

“Siasatan mendapati barang dagangan yang ditahan itu diimport melalui Pelabuhan Klang.

“Pengimport membuat pengikraran tidak benar di dalam Borang Kastam 1 (Dokumen Import).

“Mercun dan bunga api yang disita didapati tidak mematuhi spesifikasi dan garis panduan ditetapkan dalam permit import (AP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan di gudang berkenaan ditemukan 11 jenis mercun dan bunga api yang dibawa masuk sempena Tahun Baharu Cina.

“Syarikat itu mempunyai AP namun tidak mematuhi syarat yang ditetapkan. Pengimportan mercun dan bunga api adalah tertakluk kepada permit import yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara di bawah Akta Bahan Letupan 1957.

“Ia seperti yang ditetapkan di bawah Butiran 46 Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023,” katanya.

Raizam berkata, modus operandi syarikat itu adalah dengan membuat pengikraran yang tidak benar bagi tujuan mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

“Orang ramai digesa membantu JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain dengan menyalurkan maklumat kepada pihak kastam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini