comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bekas ejen kutipan wang mesin kiosk mengaku pecah amanah RM15,000

Mohamad Zulhe dipenjara 18 bulan, dua sebatan atas kesalahan pecah amanah. – FOTO: NSTP

MUAR: Bekas ejen kutipan wang mesin kiosk dijatuhi hukuman penjara 18 bulan serta dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen setelah mengaku bersalah melakukan pecah amanah sebanyak RM15,000.

Wang berkenaan hasil bayaran kiosk di Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Muar dan Syarikat Air Johor (SAJ) Tangkak.

Kesalahan dilakukan antara Julai hingga Ogos tahun lalu.

Dakwaan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 14 tahun, sebatan serta denda jika disabit bersalah.

Hakim Irwan Suainbon sebelum menjatuhkan hukuman ke atas tertuduh, Mohamad Zulhe Ahamad Jalil, 32,  berkata, kes terbabit serius kerana menyebabkan pengadu mengalami kerugian.

”Pada masa sama, hukuman ini juga menjadi pengajaran serta peringatan kepada masyarakat,” hujahnya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan, satu sebatan serta denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan hukuman penjara berjalan serentak melainkan sebatan.

Tertuduh juga boleh dikenakan penjara tambahan sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Terdahulu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahman memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

Pada 19 Oktober lalu, mahkamah sama pernah menegur tertuduh kerana gagal hadir pada hari sebutan kes menyebabkan ikat jamin sebanyak RM10,000 yang dikenakan terhadapnya ditarik balik.

Sebutan pertama kes itu ialah pada 21 September lalu namun tertuduh serta isterinya yang juga penjamin, Sarina Mahmood, 35, tidak muncul.

Pada masa sama, peguam tertuduh, Nor Hafizah Abdullah daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) juga gagal menghubunginya sebelum memutuskan untuk menarik diri.

Loading...
Terkini