ISKANDAR PUTERI: Bekas pekerja kilang ditahan selepas dipercayai mencederakan teman wanitanya dengan menyimbah minyak panas dan memukul menggunakan wayar pengecas telefon.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M.Kumarasan berkata, pihak polis menerima laporan daripada mangsa iaitu seorang wanita tempatan berumur 29 tahun berhubung kejadian pada 27 Disember lalu.
Katanya, mangsa mendakwa dikasari teman lelaki yang dikenali sejak setahun lalu pada 21 Disember lepas lebih kurang jam 3.30 petang semasa berada di rumah di kawasan Bandar Selesa Jaya, Skudai di sini.
“Bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Iskandar Puteri ke lokasi kejadian dan membuat tangkapan terhadap suspek, lelaki tempatan berumur 24 tahun.
“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah terdahulu, manakala ujian saringan air kencing mendapati positif dadah. Suspek dipercayai pengedar dadah secara kecilan.
“Dalam tangkapan itu, pihak polis turut merampas beberapa barangan, termasuk sebuah telefon bimbit, seutas wayar pengecas warna putih, sebuah beg galas warna hitam.
“Polis turut menemui dua peket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki jenis heroin seberat 65.7 gram dan sepeket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki jenis ganja seberat 15.9 gram,” katanya dalam sidang media di IPD Iskandar Puteri di sini, hari ini.
Menurut Kumarasan, suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada 3 Januari lalu atas pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata.
Selain itu, suspek juga berdepan tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis heroin dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis ganja.
Suspek tidak mengaku bersalah dan sebutan kes ditetapkan pada 4 Mac depan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.