comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bekas tahanan POCA ajak rakan serumah rompak klinik

Mohd Zaid menunjukkan parang yang dirampas dalam serbuan tangkapan suspek kes samun klinik pergigian di Bandar Seri Putra Bangi pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

KAJANG: Seorang lelaki, bekas tahanan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA), yang baru dibebaskan dua bulan lalu bertindak menyamun sebuah klinik pergigian di Bandar Seri Putra Bangi.

Malah dia turut mengajak rakan serumahnya melakukan jenayah itu, pada 7 November lalu.

Lelaki berusia 36 tahun itu memberi alasan terdesak memerlukan wang kerana tidak berkerja.

Tembelang mereka terbongkar selepas ditahan polis hasil maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menahan empat lelaki termasuk seorang lelaki warga Bangladesh serta seorang wanita tempatan berusia antara 22 hingga 47 tahun dalam serbuan di sekitar daerah ini jam 4.58 petang, semalam.

“Dalam serbuan itu, kami turut merampas parang, motosikal Yamaha R15, pakaian, helmet, barang kemas, beberapa telefon bimbit serta komputer riba yang dipercayai dilarikan dalam kejadian samun berkenaan.

“Selain dua suspek utama, kami turut menahan bekas isteri kepada salah seorang mereka yang memiliki barang kemas hasil samun dan seorang lelaki warga Bangladesh yang membeli telefon bimbit (hasil samun).

“Seorang lagi suspek lelaki yang ditahan adalah serta rakan serumah mereka yang juga pemilik motosikal yang digunakan ketika kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, di sini, hari ini.

Mohd Zaid berkata, hasil semakan mendapati suspek pertama baru sahaja dibebaskan dari tahanan POCA pada September lalu .

Dia memiliki 12 rekod jenayah berkaitan kes samun serta dadah, manakala suspek kedua mempunyai dua rekod jenayah.

“Hasil ujian saringan air kencing dilakukan terhadap lima suspek yang ditahan mendapati empat daripada mereka positif dadah kecuali lelaki warga Bangladesh terbabit,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek terbabit direman lima hari bermula hari ini hingga 14 November nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan atas kesalahan samun berkumpulan menggunakan senjata.

“Dengan penahanan semua suspek berkenaan, kami yakin dapat menyelesaikan kes samun klinik pergigian terbabit dan masih menyiasat pembabitan mereka dengan kes lain.

“Setakat ini, kami sudah berjaya menyelesaikan dua kes samun membabitkan klinik di daerah ini pada tahun ini termasuk kes berkenaan,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini