comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bengkel ‘Port’ Ubat Suai Motosikal Mat Rempit Diserbu

FOTO : NSTP

GEORGE TOWN : Polis menyerbu dua bengkel motosikal di Tanjung Bunga di sini, yang dikenal pasti terbabit dengan kerja pengubahsuaian motosikal bagi aktiviti rempit dan lumba haram.

Serbuan menerusi operasi bersepadu itu membabitkan agensi penguatkuasaan seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemeriksaan pada bengkel pertama menemukan mesin ‘dyno’ yang digunakan bagi menguji tahap kelajuan motosikal selain tayar sotong yang menjadi kegilaan dalam kalangan mat rempit.

Katanya, polis turut mengesan beberapa motosikal yang diubah suai dan digunakan bagi tujuan lumba haram atau perlumbaan berlesen.

“Kita dapati kedua-dua bengkel berkenaan beroperasi tanpa lesen sah daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

“Sebanyak tiga motosikal yang disyaki diubah suai bagi tujuan lumba turut dibawa ke balai bagi mengesan pemilik serta tujuan pengubahsuaian.

“Kebanyakan bengkel di sini adalah rumah persendirian yang dijadikan premis membaiki motosikal,” katanya kepada media di lokasi, hari ini.

Premis berkenaan adalah antara 21 bengkel di daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai Selatan yang diperiksa menerusi operasi bersepadu yang dijalankan pada hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, JPJ turut mengeluarkan tiga notis berikutan pengubahsuaian.

Katanya, inisiatif operasi berkenaan adalah bagi memastikan Pulau Pinang sebagai sifar aktiviti rempit, lumba haram dan samseng jalanan.

“Kita turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemilik dan pekerja di kedua-dua bengkel berkenaan bagi memastikan mereka tidak terbabit dengan pengambilan bahan terlarang.

“Pemeriksaan ini dilakukan dalam semua sudut, misalnya KPDNHEP melihat daripada ketulenan aksesori yang digunakan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan memeriksa rekod motosikal yang ditemukan sama ada masih ada pemiliknya atau pernah dilaporkan hilang.

“Pemilik bengkel dinasihati supaya mematuhi peraturan menerusi lesen yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Pada pemeriksaan terhadap bengkel kedua, pemilik yang mahu dikenali sebagai Zam mendakwa, rumah ibunya itu sudah dijadikan bengkel membaiki motosikal kira-kira 15 tahun lalu.

Katanya, terdapat motosikal yang sudah diubahsuai dan rosak, sebelum dihantar kepadanya bagi diperbaiki.

Difahamkan, penunggang motosikal yang terselamat dalam kejadian maut membabitkan lima nyawa di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, pada Julai lalu, turut bekerja sebagai mekanik di satu daripada bengkel berkenaan. – HARIAN METRO

Loading...

Terkini