comscore
Tumpuan :
Jenayah

Bercuti bersama teman wanita selepas pecah pejabat larikan RM40,000

Foto hiasan

AMPANG JAYA: Seorang lelaki sempat bercuti bersama teman wanita di taman tema di Johor Bahru selepas melakukan kegiatan pecah pejabat di daerah ini dan Kajang membabitkan kerugian lebih RM40,000.

Bagaimanapun, kegiatan suspek terbongkar selepas polis menahannya bersama teman wanita ketika bermalam di sebuah hotel di Tangkak, Johor, kelmarin, manakala seorang lagi suspek ditahan di Kajang.

Suspek lelaki tidak bekerja, manakala wanita itu seorang penuntut sebuah kolej swasta ditahan selepas terbabit dalam kegiatan pecah pejabat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata selepas menerima maklumat berkaitan kes pecah pejabat di Jalan Bandar Melawati, Melawati Square, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengesan dan menahan dua lelaki serta seorang wanita di Kajang Selangor dan Tangkak, Johor.

Beliau berkata, polis juga membuat rampasan beberapa barang kes disyaki bersabit kes disiasat dan berjaya menyelesaikan dua kes iaitu di daerah Ampang Jaya dan Kajang.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah dan suspek kedua pula mempunyai sembilan rekod lampau, manakala suspek ketiga tidak mempunyai rekod jenayah.

“Semua suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau berkata, modus operandi suspek berusia 18 hingga 20 tahun itu ialah menyewa kereta sebelum melakukan kegiatan pecah pejabat di Melawati dan di Kajang. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini