comscore
Tumpuan :
Jenayah

Berkhalwat dengan dua lelaki, ibu tunggal dan dua anak dicekup

Foto: Ihsan JAIM

JASIN: Ibu tunggal dan dua anak perempuannya dicekup berkhalwat dengan dua lelaki di rumah mereka di Lipat Kajang, malam tadi.

Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Che Sukri Che Mat berkata, ibu tunggal berusia 49 tahun itu bersama dua anaknya masing-masing berusia 19 dan 20 tahun itu ditahan dalam serbuan JAIM susulan aduan awam jam 12.30 tengah malam.

“Ketika serbuan, wanita terbabit yang bekerja di syarikat kontraktor dan dua anak perempuannya mengambil masa 15 minit untuk membuka pintu.

“Sebaik pintu dibuka, penguat kuasa mendapati ada dua lelaki tempatan dalam rumah itu.

“Mereka tiada hubungan mahram walaupun dua lelaki itu mendakwa adalah saudara jauh dan dibenarkan wanita itu untuk tinggal bersama di situ,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mereka disiasat mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman mendatangkan syak.

Sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara sehingga 24 bulan atau kedua-duanya sekali.

“Kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama daripada orang awam dan ahli Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) yang menyalurkan maklumat dan membantu pihak JAIM dalam mengekang aktiviti tidak bermoral dan maksiat.

“JAIM mengalu-alukan orang ramai untuk menyertai Rakan Setiaku JAIM (RASEIM) melalui link https://t.me/RASEIM bagi membantu pencegahan, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang Syariah di Negeri Melaka secara dalam talian,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini