comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Bungkus dadah dengan label plastik isi durian kering – JKDM

TAWAU: Bukan bungkusan teh Cina lagi tetapi sindiket pengedaran dadah di sini, membungkus dadah jenis methamphetamine menggunakan label plastik ‘168 Freeso-Dried Durian’.

Taktik sindiket untuk mengaburi pihak berkuasa itu terbongkar selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah merampas 10.79 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine dengan pembungkusan baharu.

”Penolong Ketua Pengarah JKDM Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman, berkata rampasan dijalankan susulan maklumat Pasukan Operasi Penguatkuasaan JKDM Tawau, terhadap sebuah premis perkhidmatan kurier di Jalan Bakau, di sini, di antara jam 12 hingga 1 tengahari pada 9 Mac lalu.

Beliau berkata, modus operandi sindiket ialah dengan menyembunyikan bahan terlarang itu yang dibungkus menggunakan bungkusan makanan “168 Freeso-Dried Durian” yang diletakkan di dalam kotak dengan perihal barang yang ditulis sebagai peralatan memancing.

“Bungkusan dibawa syarikat perkhidmatan kurier menggunakan jalan darat sebelum tiba di daerah ini, dengan alamat penerima hanya tertera nama sahaja untuk tujuan ‘self collect’.

“Bagaimanapun, selepas diperiksa didapati 10 bungkusan plastik berkenaan mengandungi 10.79 kg hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine dengan nilai anggaran sebanyak RM356,070,” katanya pada sidang media di pejabat JKDM Tawau, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Nasir berkata, susulan rampasan itu, pihaknya menahan pengurus syarikat perkhidmatan kurier terbabit bagi membantu siasatan.

Sementara itu, dalam kes berasingan JKDM Tawau berjaya menahan tiga kontena mengandungi 101 batang kayu balak (jati) dan 1514 batang kayu bergergaji bernilai RM80,322.23 dengan duti eksport sebanyak RM7,129.36 disyaki cuba dieksport ke negara India tanpa permit sah.

“Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini