comscore
Tumpuan :
Jenayah

Campak Bayi: Ibu, Teman Lelaki Ditahan

Mayat bayi ditemui seorang penghuni pangsapuri kira-kira jam 8.25 pagi tadi.
Oleh: Selwam Arjunan

GEORGE TOWN: Seorang bayi perempuan baru dilahirkan meninggal dunia selepas dicampak dari tingkat 13 sebuah pangsapuri di Bandar Baru Air Itam di sini, pagi tadi.

Polis yang mengesahkan kejadian terbabit menahan seorang pelajar kolej dipercayai ibu bayi berkenaan dan teman lelaki, kedua-duanya berusia 18 tahun untuk membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata seorang penghuni pangsapuri berkenaan menemui mayat  kira-kira jam 8.25 pagi.

“Pengadu telah terima makluman melalui whatsapp group penduduk mengatakan terdapat satu mayat bayi di tingkat empat. Pengadu telah turun ke bawah dan dapati ada satu mayat bayi, jantina tidak pasti, tidak berpakaian, dalam keadaan tidak bergerak, di laluan naik ke parking tingkat empat dan pengadu terus menghubungi balai polis,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejurus tiba di lokasi, polis mendapati bayi cukup sifat itu telah meninggal dunia.

Hasil siasatan, suspek perempuan yang ditahan mengaku mengandung namun tidak diketahui keluarga.

Dia turut mengaku dia mengalami sakit perut kira-kira jam 6 pagi dan bersalin dalam tandas rumahnya.

“Suspek telah ke bilik air dan cuba untuk buang air besar. Semasa dia meneran, secara tiba-tiba bayi keluar jatuh di dalam mangkuk tandas. Suspek ada terdengar suara jeritan kecil bayi tersebut. Suspek bungkus bayi tersebut dengan baju t-shirt yang dipakainya dan membuang bungkusan baju tersebut melalui tingkap di bilik belakang rumahnya di tingkat 13,” katanya lagi.

Teman lelaki gadis berkenaan yang merupakan penganggur dan memiliki satu rekod jenayah lampau ditahan di rumahnya di Jalan Penawar, Jelutong kira-kira jam 12 tengah hari.

Mayat dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.

Kedua-dua suspek akan direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Loading...
Terkini