Oleh: Aslina Abu Bakar
KUALA LUMPUR: Bedah siasat mayat bayi lelaki yang dicampak dari tingkat atas sebuah kondominium dekat Sri Petaling, semalam akan dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kira kira jam 10 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood ketika dihubungi Buletin TV3, memaklumkan laporan forensik dijangka dikeluarkan kira-kira jam 3 petang.
Menurutnya lagi polis kini mengecilkan skop siasatan bagi mencari beberapa lagi bukti berkaitan.
“Ada beberapa lagi bahan bukti yang kami peroleh dan tunggu dari anggota di sana..tapi dari tingkat berapa bayi ini dicampak kami belum tahu.
“Suspek juga masih belum ditangkap memandangkan belum ada sebarang petunjuk yang jelas mengenai suspek.
“ Siasatan lanjut kes ini sedang diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,”katanya
Semalam, bayi lelaki masih bertali pusat ditemukan maut di sebuah kondominium sekitar Sri Petaling, selepas dipercayai dicampak dari salah satu premis kediaman.
Polis memaklumkan pihaknya menerima laporan pada jam 2.30 petang semalam dan melaporkan mangsa ditemukan dengan sebahagian daripada kepalanya pecah.