comscore
Tumpuan :
Jenayah

Cubaan bawa keluar wang lebih RM600,000 gagal

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan 

SEPANG: Cubaan membawa keluar wang tunai bernilai lebih RM600,000 di balai pelepasan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), berjaya ditumpaskan.

Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail, seorang penumpang warga asing yang hendak menaiki pesawat ke sebuah negara di Timur Tengah, turut ditahan Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah dengan kerjasama  pasukan Aviation Security (AVSEC), pada 13 Jun lalu.

Menurutnya, pengembara berusia lingkungan 60an itu ditahan susulan pemeriksaan pada bagasi dibawanya semasa proses pemeriksaan kastam.

“Hasil daripada pemeriksaan rapi yang dijalankan di Kaunter Pemeriksaan Kastam menemui mata wang ringgit berjumlah RM572,563 dan 24,500 dolar Singapura di dalam bagasi miliknya.

“Siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti sumber wang tunai milik lelaki dipercayai merupakan pengarah sebuah syarikat di luar negara itu.”

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLAFTPUAA) 2001.

“Pengembara tersebut tidak membuat pengikraran ke atas amaun tunai yang hendak dibawa keluar dari Malaysia dan melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019.

“Peraturan tersebut menyatakan pengembara yang ingin membawa keluar amaun tunai dan instrumen boleh niaga perlu mengikrarkannya menggunakan Borang Kastam No. 7 sekiranya amaun melebihi atau bersamaan nilai USD10,000” katanya dalam sidang media di Pejabat Perkastaman Kargo KLIA siang tadi.

Tambahnya lagi, kelulusan daripada Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mata wang ringgit Malaysia juga perlu diperoleh terlebih dahulu sebelum dibawa keluar dari Malaysia.

Ujar beliau, ini merupakan kes kedua yang diperolehi JKDM Zon Tengah tahun ini melibatkan cubaan tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini