comscore
Tumpuan :
Jenayah

Cubaan larikan AS$50,000 gagal, dicekup polis hasil bantuan orang ramai

Foto hiasan

AMPANG: Cubaan dua lelaki melarikan wang tunai berjumlah AS$50,000 (kira-kira RM236,000) yang disamun tidak berhasil apabila berjaya ditahan polis dengan bantuan orang awam di hadapan sebuah bank di Jalan Memanda, di sini, pada Isnin lalu.

Difahamkan, kumpulan itu menggunakan modus operandi menjanjikan imbuhan tinggi bagi pertukaran wang asing sebelum menyamun mangsa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, polis menerima laporan daripada wanita berusia 39 tahun pada jam 9 malam pada hari kejadian.

“Wanita itu bersama abangnya berjumpa tiga lelaki dalam sebuah kereta di Jalan Memanda atas urusan pertukaran wang berjumlah AS$50,000 kepada Ringgit Malaysia (RM).

“Tiba-tiba suspek merampas beg berisi wang dan menumbuk mangsa lalu melarikan diri untuk menaiki sebuah kereta yang sedang menunggu.

“Suspek bagaimanapun diberkas orang awam yang berada di lokasi sebelum mereka mendapatkan bantuan polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, polis kemudian menahan suspek warga asing berusia 32 tahun itu untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil siasatan membawa kepada penahanan seorang lagi suspek lelaki berusia 65 tahun di Kepala Batas, Pulau Pinang, semalam yang disyaki terbabit jenayah sama.

“Semakan mendapati suspek kedua itu mempunyai empat rekod jenayah lampau.

“Suspek menggunakan modus operandi merompak mangsa ketika proses penukaran wang yang mana mangsa dijanjikan mendapat sedikit imbuhan,” katanya.

Menurutnya, suspek pertama direman tujuh hari manakala suspek kedua direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini