comscore
Tumpuan :
Jenayah

Cubaan larikan bas sekolah, seorang lelaki ditahan

Oleh Baharuddin Mohamed 

MELAKA: Tindakan nekad seorang lelaki yang cuba melarikan sebuah bas sekolah, gagal apabila dia ditangkap ketika kenderaan curi yang dipandunya itu terbabas di tepi Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ, berhampiran Taman Malinja di sini petang tadi.

Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, kejadian disedari salah seorang ahli keluarga pemilik syarikat bas sekolah yang membawa 44 penumpang itu yang kemudiannya menghubungi pemilik kenderaan terbabit.

Pemilik bas terbabit, Zaidi Basri, 42 berkata, dia dihubungi saudaranya pada jam 5.15 petang yang memaklumkan bas milik bapanya itu dilihat diletakkan di sebuah stesen minyak berhampiran yang dipercayai dilarikan seorang lelaki berusia 30-an.

“Saya terus ke lokasi apabila dimaklumkan bas berusia 20 tahun yang diusahakan bapanya, Basri Jafar, 68, sudah terbabas di tepi Lebuh AMJ.

“Setibanya di situ, saya nampak seorang lelaki yang dikatakan memandu bas sekolah bapa sudah ditangkap orang ramai ketika dia cuba melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

“Kami kemudian menghubungi polis dan menyerahkan suspek kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Pemilik bas, Zaidi Basri.

Menurut Zaidi, walaupun mengalami kerugian ribuan ringgit akibat kerosakan teruk pada bas berkenaan, dia bersyukur kerana ia tidak melibatkan kecederaan kepada pengguna jalan raya yang lain.

“Mujurlah bas itu terbabas ke kiri Lebuh AMJ menyebabkan cermin hadapan pecah akibat rempuhan pada papan tanda selain kerosakan pada bahagian tangki apabila bas  terhumban ke dalam longkang.

“Kalau bas itu melanggar kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat di hadapan keadaan tentu lebih teruk kerana mungkin menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Loading...
Terkini