comscore
Tumpuan :
Jenayah

Cubaan seludup daging jenis spesis terancam bernilai RM500,000 gagal

Oleh: Safwan Sawi

KUDAT: Cubaan menyeludup keluar daging jenis spesis terancam gagal membabitkan daging penyu kering seberat 765 kilogram di perairan daerah ini, semalam.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kudat menerusi pasukan operasi Op Pluto Timur dan Op Tiris turut merampas 19 guni balat dan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM500,000.

Kejadian berlaku jam 10.27 malam di kawasan pesisir pantai kira-kira 0.5 batu nautika Timur Laut, Kampung Tajau Laut, di sini.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak hasil maklumat perisikan, sebuah bot ronda APMM yang sedang menjalankan rondaan di atur gerak ke kawasan berkenaan bagi memeriksa bot yang sedang melakukan aktiviti mencurigakan.

Kawasan cetek di kawasan berkenaan jelasnya menyukarkan bot ronda untuk menghampiri bot terbabit bagi tujuan membuat pemeriksaan.

“Menyedari kehadiran pasukan operasi, suspek bertindak meloloskan diri di kawasan cetek berhampiran.

“Aset dari darat kemudian di atur gerak ke lokasi untuk membuat pemeriksaan di kawasan berkenaan kerana bot ronda tidak dapat merapat di kawasan pantai,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Ujarnya, hasil pemeriksaan menemui sejumlah 51 guni berisi daging penyu kering dianggarkan seberat 765 kilogram.

Daripada jumlah itu dianggarkan hampir 1,000 ekor penyu telah dibunuh oleh sindiket ini.

“Selain itu, 19 guni balat juga turut ditemui dan semua barang yang ditemui dipercayai cuba diseludup untuk pasaran ke negara luar.

“Keseluruhan barang rampasan dianggarkan bernilai lebih RM500,00 dan barang rampasan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kudat untuk siasatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (cubaan menyeludup daging haiwan spesies terancam).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini