Tumpuan :
Jenayah

Cubaan seludup keluar 62 warga asing tanpa dokumen sah, gagal

KUALA LUMPUR: Kaut keuntungan besar hasil kegiatan menyeludup keluar warga asing yang ‘kosong’ atau tiada dokumen sah keluar dari negara melalui jalan laut ke negara jiran.

Itulah kegiatan Geng Castelo yang dibongkar Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) menerusi serbuan Op Pintas di dua lokasi berasingan di sekitar Tanjung Karang dan Rawang, Selangor baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah D3 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil siasatan mendapati sindiket ini mengutip ‘tambang’ bermula RM1,500 ke RM2,300 setiap seorang.

Menurutnya, dalam serbuan pertama sebuah bot pancung serta sampan berjaya dipintas di kedudukan 0.5 batu nautika di Pantai Sungai Bagan Tengkorak, Tanjung Karang, Selangor dengan bantuan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Serbuan pertama pada 6 petang, Rabu. Pasukan D3 bersama PGM dan APMM berjaya membuat serbuan ke atas sebuah bot pancung jenis fiber dan sebuah bot sampan jenis fiber dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil serbuan berjaya menahan ke 36 migran Indonesia yang terdiri daripada 19 lelaki, wanita (14), dan kanak (3) dan dua lelaki juga warga Indonesia disyaki sebagai tekong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, pihak polis menggempur sebuah premis kediaman sekitar Kundang di Rawang, Selangor dalam serbuan kedua kira-kira 6 petang kelmarin.

Soffian berkata, 26 migran warga Indonesia ditahan dalam serbuan kedua membabitkan 20 lelaki, lima wanita dan seorang kanak-kanak serta dua lelaki disyaki transporter serta penjaga rumah kesemuanya berusia lingkungan 4 hingga 49 tahun.

Katanya, hasil siasatan lanjut pihak polis percaya bahawa kedua-dua lokasi serbuan membabitkan satu sindiket yang sama dan dipercayai aktif sejak enam bulan lalu.

“Migran yang ditahan tidak mempunyai dokumen sah dan mahu keluar dari Malaysia melalui jalan laut.

“Setiap migran dipercayai membayar RM1,500 hingga RM2,300 untuk keluar dari Malaysia yang dibayar kepada ejen di Indonesia,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan seramai 64 warga Indonesia ditahan dalam dua operasi berkenaan termasuk tekong, transporter dan penjaga rumah transit.

Katanya, kesemua tangkapan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)Kuala Selangor dan IPD Sungai Buloh bagi tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen Seksyen 26A Akta Atipsom 2007, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini