comscore
Tumpuan :
Jenayah

Cubaan Seludup Minuman Keras Guna Bot Penumpang Gagal

FOTO : NSTP

LABUAN: Cubaan dua lelaki menyeludup minuman keras menggunakan bot penumpang di perairan Menumbok, di sini, gagal selepas kegiatan mereka dihidu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang membuat rondaan di perairan berkenaan, semalam.

Dalam operasi jam 7.45 pagi itu, kedua-dua suspek berusia 35 dan 37 tahun ditahan bersama 70 kotak minuman keras.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Nudin Jusoh berkata, hasil siasatan awal, penyeludupan berkenaan dilakukan dengan berselindung menggunakan bot penumpang.

Katanya, sebaik dikesan dalam keadaan yang mencurigakan pasukan operasi terus bertindak mengejar sebelum menahan untuk pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan minuman keras pelbagai jenama yang disembunyikan di dalam bot berkenaan.

“Semua minuman keras itu dipercayai dibawa keluar tanpa kebenaran daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan dua lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, bot dan minuman keras yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM10,322.80 itu terus dirampas dan dibawa ke Jeti Maritim Labuan untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini