comscore
Tumpuan :
Jenayah

Cubaan warga asing seludup arak gagal

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kegiatan seorang lelaki warga asing menyeludup arak tidak bercukai bernilai RM270,000 mengundang padah apabila ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, sekitar jam 6 petang semalam, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Bukit Jalil membuat serbuan dan tangkapan ke atas suspek berusia 47 tahun berhampiran Kampung Bohol, Bukit Jalil, sini.

Menurutnya, suspek ini dipercayai terbabit dalam kes penyeludupan arak tidak bercukai yang disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Dalam serbuan yang dijalankan, pihak polis merampas 3,694 botol arak dan 4,920 tin arak pelbagai jenama.

“Jumlah nilai rampasan keseluruhan termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM 270,000,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, reman ke atas suspek dibenarkan selama 12 hari bermula hari ini hingga 15 Februari ini.

“Pihak Polis Cheras menyeru kepada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah yang berlaku.

“Maklumat-maklumat ini boleh disalurkan melalui Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan,” katanya.

Loading...
Terkini