comscore
Tumpuan :
Jenayah

Cubaan warga asing untuk mendapatkan kad pengenalan melalui gantian hilang akibat banjir gagal

Oleh Mohd Ishak Abdillah Ngah

TERENGGANU: Seorang lelaki warganegara Indonesia didakwa di Mahkamah Majistret Besut atas pertuduhan memberi maklumat palsu bagi tujuan membuat permohonan Kad Pengenalan gantian hilang akibat banjir pada 1 Januari 2023.

Tertuduh berusia 54 tahun, mengaku bersalah di Hadapan Majistret Ainis Abu Hassan Shaari.

Tertuduh didakwa di bawah Peraturan 25 (1) (b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) kerana memberikan maklumat palsu dalam butir material semasa membuat permohonan gantian hilang kad pengenalan yang boleh membawa kepada hukuman penjara tidak lebih 3 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda RM7,000 dan jika gagal bayar akan dipenjara 10 bulan.

Tertuduh telah menjelaskan bayaran denda sebanyak RM7,000 dan kes dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan selanjutnya.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Terengganu iaitu Norjannah Mariam Hanna Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, JPN Negeri Terengganu melalui Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan telah berjaya menahan tertuduh pada 18 Januari 2023 di Besut, Terengganu.

Loading...
Terkini