comscore
Tumpuan :
Jenayah

Curi cek masjid dengan menyamar pegawai SPRM

Foto hiasan

AMPANG JAYA: Taktik seorang penganggur dengan menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mencuri cek di sebuah masjid Taman Kosas, di sini terbongkar selepas ditahan polis, kelmarin.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang lelaki berusia 60 tahun yang juga bendahari masjid pada 22 Januari lalu.

“Kata pengadu, dia didatangi seorang lelaki tempatan jam 2 petang pada 19 Januari lalu, dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM dan mendakwa terdapat masalah dalam pengurusan akaun masjid.

“Suspek kemudian meminta pengadu mengeluarkan buku cek untuk semakan dan pemeriksaan sebelum beredar.

“Kira-kira jam 3 petang, hari sama, pengadu menerima panggilan telefon daripada pihak bank memaklumkan terdapat cek bernilai RM30,000 cuba ditunaikan, namun ditolak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, semakan dilakukan pengadu mendapati tedapat cek hilang selepas pemeriksaan dibuat oleh suspek.

“Susulan itu, kami menahan seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya jam 1.35 petang, kelmarin, semasa tampil bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah manakala ujian awal air kencing dilakukan didapati postif dadah jenis methaphetamin,” katanya.

Katanya, suspek direman selama empat hari bermula semalam hingga 27 Januari nanti untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam.

Loading...
Terkini