comscore
Tumpuan :
Jenayah

Curi kabel, pecah rumah untuk beli dadah 

Hussin (tengah) menunjukkan kabel dan barangan yang dirampas hasil serbuan dalam Op Pintu di sebuah rumah Kampung Sungai Rinting, Masai. -FOTO: NSTP

KOTA TINGGI: Seorang wanita antara lima ditahan terlibat geng curi kabel dan pecah rumah dalam serbuan Op Pintu di sebuah rumah di Kampung Sungai Rinting, Masai Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata siasatan awal mendapati kesemua suspek berumur 30 hingga 40an melakukan kegiatan jenayah berkenaan untuk mendapatkan wang bagi membeli dadah.

Katanya dengan penahanan geng terbabit pihaknya percaya dapat menyelesaikan lima kes pecah rumah dan curi kabel di sekitar daerah ini.

“Polis percaya telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes pecah rumah dan curi kabel dan ‘wanted’ kes narkotik di daerah Seri Alam.

“Kesemua suspek mempunyai rekod lampau jenayah dan dadah serta positif dadah dalam saringan air kencing dilakukan. Salah seorang suspek juga mempunyai tatu pada lengan yang disyaki merupakan ahli salah satu kumpulan kongsi gelap.

“Siasatan awal mendapati kumpulan ini dipercayai sudah enam bulan aktif melakukan jenayah, yang mensasarkan kawasan rumah teres dan rumah-rumah di sekitar daerah ini,”katanya pada sidang media di IPD Kota Tinggi, hari ini.

Menurut Hussin, kumpulan ini menggunakan modus operandi dengan mensasarkan rumah kosong, melakukan aktiviti pada waktu malam ketika mangsa sedang tidur.

Katanya barangan yang dicuri kebanyakan diletak di bahagian luar rumah mangsa seperti stor.

“Antara barangan yang dicuri seperti mesin rumput, mesin grinder, kabel dan peralatan yang bernilai serta boleh beri pulangan baik jika dijual semula.

“Mangsa mengalami kerugian kira-kira RM147,000 susulan kecurian yang dilakukan kumpulan tersebut.

“Siasatan awal mendapati mereka mencuri dan jual semula bagi mendapatkan hasil untuk membeli dadah. Kita yakin dengan tumpasnya kumpulan ini akan ada lagi beberapa laporan akan buat,”katanya.

Hussin berkata kesemua suspek ditahan reman selama empat hari bermula 4 Julai hingga hari ini dan permohonan reman telah dibuat untuk membantu siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini