comscore
Tumpuan :
Jenayah

Curi kabel TM, tiga lelaki ditahan

Foto hiasan

TASEK GELUGOR: Tiga lelaki tempatan ditahan selepas disyaki terbabit dalam kes curi kabel milik Telekom Malaysia (TM), Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata semua suspek ditahan di tiga lokasi berbeza di Sungai Petani, Kedah dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (D9), hari ini.

Katanya, polis menerima panggilan orang awam yang melaporkan melihat tiga lelaki tidak dikenali dalam keadaan mencurigakan, dipercayai mencuri kabel di tepi jalan kawasan Tasek Gelugor, jam 1.05 pagi, Selasa lalu.

“Ketika anggota polis tiba di lokasi kejadian, ketiga-tiga suspek melarikan diri menaiki kenderaan pacuan empat roda sebelum merempuh pokok.

“Bagaimanapun, mereka bergerak ke kawasan semak berhampiran dan Ops Kesan yang dijalankan gagal menemukan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan polis di lokasi kejadian mendapati suspek tidak sempat menarik keluar kabel yang dipotong dari lubang bawah tanah.

Mohd Asri berkata, polis terus mengesan suspek dengan semakan ke atas kenderaan yang digunakan dam mendapati ia didaftar atas nama seorang lelaki tempatan beralamat di Sungai Petani, Kedah.

“Susulan butiran diperoleh, ketiga-tiganya ditahan dan pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan membawa kepada peralatan disyaki digunakan untuk mencuri kabel.

“Hasil ujian saringan air kencing ke atas ketiga-tiga suspek mendapati mereka positif dadah,” katanya.

Semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan direman tiga hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini