comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dadah hampir 200kg dirampas, sindiket dadah antarabangsa tumpas 

JOHOR BAHRU: Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa terbesar setakat ini, selepas menahan 14 suspek termasuk 6 wanita dalam tujuh serbuan berasingan di sekitar bandaraya ini, Iskandar Puteri dan Seri Alam.

Sebuah makmal mini memproses dadah turut ditemui.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, turut ditahan ketua sindiket warga asing dan dadah seberat 198.53 kilogram bernilai RM11.6 juta dirampas.

Katanya, semua suspek termasuk seorang “tukang masak” dadah ditahan dalam serbuan kira-kira jam 3.40 petang hingga 8.30 malam Rabu lalu.

Hasil serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah antaranya syabu, ketamin, ekstasi, eramin 5 seberat 198.54 kilogram serta bahan kimia dan peralatan yang digunakan untuk memproses dadah berkenaan.

“Modus operasi sindiket antarabangsa ini adalah dengan menyewa pangsapuri, kondo serta rumah teres berpagar dan berpengawal untuk dijadikan tempat memproses dan membungkus dadah.

“Siasatan awal mendapati dadah itu untuk pasaran luar negara,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di Johor Bahru, pagi tadi.

Kata Khaw, siasatan juga mendapati sindiket berkenaan mula beroperasi sejak Januari lalu.

“Sindiket berkenaan menjadikan negara ini sebagai pusat memproses dadah dan bekalan bahan mentah bagi menghasilkan dadah diperolehi dari sebuah negara jiran di utara tanah air” ujarnya.

Katanya, rampasan terbesar bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, boleh digunakan oleh seramai 1.24 juta penagih.

Semakan rekod, mendapati lima daripada suspek warga asing mempunyai rekod dikehendaki di negara mereka berkaitan kes dadah, jenayah dan imigresen

Manakala seorang suspek tempatan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Selain dadah, polis turut menyita enam buah kereta, 11 utas jam tangan, 13 bentuk barang kemas, wang tunai RM204,069, dolar Singapura SGD22,970 keseluruhannnya berjumlah RM1.179 juta.

Ujian air kencing mendapati tiga daripada 14 suspek yang ditahan positif dadah.

Semua suspek yang ditahan di reman hingga Rabu ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini