comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Dadah seberat 213 kg bernilai RM33.6 juta dirampas polis

KUALA LUMPUR: Lebih 213 kilogram (kg) serbuk dadah jenis Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dianggarkan bernilai RM33.6 juta dirampas polis dalam serbuan di sebuah unit kondominium di Sentul, di sini kelmarin.

Dalam serbuan pada jam 3.50 petang itu, dua lelaki tempatan berusia 33 dan 32 tahun turut ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin bersama Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa (empat kiri) menunjukkan dadah yang dirampas, pada sidang media IPK Kuala Lumpur, hari ini.-Foto: NSTP

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin berkata, siasatan mendapati unit kondominium yang disewa dengan kadar RM2,000 sebulan itu dijadikan tempat pembungkusan serbuk MDMA sebelum bahan terlarang itu dipasarkan.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, polis menemui 13 bekas plastik berisi serbuk MDMA seberat 199.7kg serta 499 paket plastik berisi dadah jenis jus MDMA seberat 13.6kg dengan berat keseluruhan 213.4kg.

“Serbuk dadah berkenaan akan dipaketkan sebagai dadah jenis jus mengandungi MDMA seberat 27 gram (g) setiap paket dan dijual dengan harga antara RM300 hingga RM600 sepaket untuk pasaran tempatan terutama pusat-pusat hiburan sekitar Lembah Klang selain pasaran di Sabah dan Sarawak.

“Keseluruhan dadah yang dirampas ini dianggar bernilai RM33.65 juta dan boleh digunakan kira-kira 700,000 orang penagih dadah.

“Buat masa ini polis masih menjalankan siasatan berkenaan punca dadah itu diperoleh serta dalang utama sindiket ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPKKL) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa serta Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Zainudin Ahmad.

Mengulas lanjut, Kok Chin berkata, risikan mendapati sindiket ini dipercayai mula aktif sejak awal tahun ini dan tidak menolak kemungkinan bekalan dadah diseludup dari kawasan Segi Tiga Emas.

“Dua suspek yang ditahan itu tidak mempunyai pekerjaan dan berperanan sebagai pembungkus dadah serta ‘runner’ atau penghantar dadah kepada pelanggan dengan upah RM3,000 sebulan.

“Hasil ujian saringan awal air kencing yang dijalankan mendapati kedua-dua suspek negatif dadah. Semakan rekod jenayah pula mendapati kedua-duanya mempunyai 10 rekod lampau atas kesalahan jenayah dan dadah,” katanya.

Katanya, dua suspek terbabit kini direman tujuh hari sehingga 2 Jun ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas dan harta-harta orang kena tangkap serta rakan sekutunya bagi tindakan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988,” katanya.

Loading...
Terkini