Tumpuan :
Jenayah

Dakwa terkena mercun, rupanya kanak-kanak cedera disyaki didera rakan ibu

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam [email protected] Foto fail

PETALING JAYA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun cedera di mata dan badan disyaki didera penjaga sementara yang juga rakan ibu mangsa di kediamannya di Taman Desaria, di sini, kelmarin.

Perbuatan itu terbongkar selepas doktor yang merawatnya di sebuah klinik pada 8 November lalu menyedari kejadian itu dan membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar berkata pihaknya menerima aduan berkenaan pada jam 10.55 pagi.

Katanya, pemeriksaan mendapati kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan di bahagian mata, tangan kiri dan kanan serta luka di punggung.

“Satu kertas siasatan dibuka dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001. Suspek masih belum ditahan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Shahrulnizam berkata ibu mangsa pernah ditahan atas kesalahan dadah pada 18 September lalu, sebelum dijamin 6 November.

Katanya, wanita itu mendapati anaknya mengalami kecederaan dan dimaklumkan oleh rakannya yang menjadi penjaga sementara, mangsa terkena mercun.

“Kita minta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes itu menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Petaling Jaya ditalian 03-79662222 atau berhubung terus dengan pegawai penyiasat iaitu Inspektor R Daamotaran Naiidu ditalian 019-6551269,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini