comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dakwaan Cubaan Culik Di Simunjan Palsu

 

Gambar hiasan.

SIMUNJAN: Polis mengesahkan tidak berlaku cubaan culik di sebuah sekolah rendah di daerah ini seperti tular di media sosial, semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Simunjan, Asisten Superintendan Honchin Ludu berkata, pihaknya menerima laporan polis berkaitan kes itu yang dibuat oleh seorang wanita warga tempatan berusia 31 tahun.

Menurutnya, wanita itu memaklumkan menerusi laporan itu bahawa anaknya berusia sembilan tahun mendakwa cuba diculik oleh seorang lelaki dan seorang perempuan tidak dikenali ketika berada di luar sekolah.

“Hasil siasatan terperinci mendapati kejadian berlaku di luar kawasan sekolah selepas waktu persekolahan tamat di mana keadaan di luar sekolah ketika itu dipenuhi dengan kenderaan ibu bapa yang mahu mengambil anak masing masing.

“Polis mengambil tindakan sewajarnya dengan mengenal pasti saksi-saksi penting, namun kesemua saksi mengesahkan tiada sebarang kejadian sebagaimana yang dilaporkan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, pihak polis menasihatkan orang ramai termasuk pengamal media supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak sahih yang boleh menggugat ketenteraman awam

“Tindakan boleh diambil terhadap individu terbabit mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1988,” katanya. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini