comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dakwaan Remaja Didera ‘Ala Militan’ Di Madrasah Darussolihin Adalah Palsu – Polis

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim.

Oleh Salina Zakaria

SHAH ALAM : Dakwaan seorang remaja kononnya dia didera secara mental dan fizikal ‘ala militan’ di sebuah madrasah, Jalan Kebun, Klang didapati palsu dan tidak berlaku.

Menerusi satu kenyataan media, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya mendapati tiada sebarang kecederaan berlaku kepada mangsa yang dihantar ke madrasah itu kerana terlibat dengan kegiatan dadah.

Ekoran itu, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya terhadap laporan palsu dibuat remaja terbabit.

Dakwaan dirujuk ke Mahkamah Majistret Jenayah (2) Shah Alam hari ini, selepas mendapati pengadu membuat laporan palsu dan memberikan maklumat palsu kepada polis.

Dakwaan terhadap pengadu mengikut seksyen 182 Kanun Keseksaan, dengan niat menyebabkan penjawat awam iaitu polis menggunakan kuasa di sisi undang-undang, yang boleh mendatangkan bencana kepada seseorang yang lain iaitu pihak madrasah yang dituduh.

Hakim Mahkamah Majistret, Mohamad Redza Azhar Rezali menetapkan pengadu dibicarakan pada 15 November depan.

Pengadu bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM2,000 sementara menunggu perbicaraan.

Pada 21 Ogos lalu, polis menerima laporan daripada ibu remaja yang didakwa anaknya didera ‘ala militan’ di sebuah Madrasah Darussolihin hingga tular di media sosial.

Kejadian didakwa berlaku 10 Ogos sekitar jam 11 malam selepas ibunya mendakwa tidak boleh bertemu anaknya di madrasah.

Anaknya kemudian mengadu dirinya telah dipukul, ditumbuk dan kepala diketuk oleh warden madrasah.

Siasatan mendapati remaja terbabit dihantar ke madrasah itu selama empat bulan bagi menjalani rawatan pemulihan ketagihan dadah.

Remaja terbabit, membuat dua laporan polis iaitu pada 23 Ogos menyatakan dirinya tidak dipukul oleh pihak madrasah.

Manakala laporan polis kedua iaitu pada 25 September menyatakan dia dipukul oleh pihak madrasah walaupun hasil pemeriksaan lanjut di Hospital Shah Alam mendapati tiada sebarang kecederaan pada mangsa.

Dalam pada itu, pihak madrasah dalam satu kenyataan menafikan dakwaan berlakunya kes penderaan terhadap penghuninya mahupun menyokong aktiviti militan.

“Selain menekankan ilmu agama, madrasah ini turut melaksanakan program pemulihan dan perlindungan, terhadap individu yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah serta masalah sosial,” kata kenyataan itu lagi.

Loading...
Terkini