comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dalang sindiket keluarkan wang RM24.2 juta daripada akaun simpanan ditahan

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf. – Foto fail

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai dalang sindiket yang mengeluarkan wang tunai RM24.2 juta daripada beberapa akaun simpanan.

Suspek berusia 40-an itu ditahan di Sabah, kelmarin selepas polis menahan seorang kakitangan sebuah bank sehari sebelum itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, setakat ini hanya dua individu yang sudah ditahan berhubung kes berkenaan.

“Kita percaya lebih ramai lagi individu yang terbabit dalam sindiket pakatan jenayah ini sehingga berlakunya transaksi pengeluaran wang daripada akaun simpanan.

“Pada masa ini pasukan JSJK sedang berusaha menjalankan siasatan untuk menjejak saki-baki sindiket ini dan seterusnya memberkas mereka,” katanya dihubungi BH hari ini.

Datuk Seri Ramli berkata, siasatan awal polis mendedahkan terdapatnya pembabitan ahli sindiket dari dalam dan luar bank yang bersekongkol bagi urusan pengeluaran wang berkaitan memandangkan ia hanya boleh dilakukan dengan ‘bantuan’ dalaman bank.

Polis menerima empat laporan berkaitan kehilangan wang daripada akaun simpanan tetap di Petaling Jaya, Selangor, awal bulan ini.

Pengadu yang terdiri daripada pemilik akaun memaklumkan terdapat pengeluaran wang mencurigakan yang dilakukan secara tunai di Kota Kinabalu, membabitkan beberapa akaun simpanan tetap di sebuah bank.

Semua pemilik akaun yang terlibat menafikan tentang perkara tersebut dan tidak pernah ke Kota Kinabalu bagi membuat pengeluaran sebagaimana yang didakwa.

Siasatan kes dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan.

Terdahulu, polis mendedahkan seorang wanita yang juga kakitangan sebuah bank berusia 38 tahun ditahan di Kota Kinabalu, Sabah, pada Khamis lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini