comscore
Tumpuan :
Jenayah

Dalang utama sindiket edar dadah ditahan bersama ibu

JOHOR BAHRU: Ibu dan anak antara yang ditahan dalam operasi khas menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di daerah ini, minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 40 tahun yang juga dalang utama sindiket berkenaan ditahan bersama ibunya berusia 61 tahun di sebuah pangsapuri di Larkin, kira-kira jam 5.30 pagi, 10 Januari lalu.

Turut ditahan rakan kepada wanita berkenaan.

Beliau berkata, polis yang menjalankan dua lagi serbuan susulan di pangsapuri sama dan sebuah rumah teres di Kangkar Pulai, Iskandar Puteri antara 12.30 tengah hari hingga 3.30 petang, Ahad lalu, turut merampas pelbagai jenis dadah berjumlah lebih RM1.23 juta.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menjadikan pangsapuri di kawasan berpagar dan berpengawal yang disewa sebagai stor penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan.

Foto: NSTP

“Kegiatan sindiket ini dipercayai dimulakan sejak Oktober 2023,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Pihaknya turut merampas lebih 24 kilogram (kg) dadah termasuk 16.47 kg serbuk ekstasi, 39 paket ganja, 1.77 gram syabu dan 0.59 gram pil erimin 5, selain pelbagai peralatan menghasilkan pil ekstasi seperti mesin pencetak, pengisar, penimbang, loyang dan penapis.

“Kita turut merampas lima butir peluru disyaki peluru hidup yang disembunyikan dalam mesin basuh di pangsapuri berkenaan ketika serbuan kedua dibuat.

“Semua dadah yang dirampas jika terlepas ke pasaran, boleh digunakan seramai 62,690 penagih,” katanya.

Beliau berkata, suspek utama kes itu didapati positif methamphetamine dan turut mempunyai 46 rekod lampau kes jenayah dan dadah serta dikehendaki polis bagi enam kes jenayah dan dadah.

Ketiga-tiga suspek warga tempatan berusia 40 hingga 61 tahun itu direman tujuh hari bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Loading...
Terkini