comscore
Tumpuan :
Jenayah

Datuk antara lapan individu ditahan, rampas 300kg syabu

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman menunjukkan hasil rampasan 300KG syabu di Ibu Pejabat Polis, Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki bergelar Datuk antara lapan individu ditahan dengan rampasan 300 kilogram syabu bernilai kira-kira RM10 juta dalam lima serbuan di sekitar Lembah Klang dan Seremban, Negeri Sembilan pada 3 Mac lalu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman, operasi dikenali sebagai Op Greyhound itu dilakukan secara serentak di tiga lokasi bermula jam 11 pagi hingga 2 petang pada Jumaat lalu.

“Dalam serbuan itu, kami menahan lapan individu termasuk seorang wanita berusia 27 hingga 61 tahun dengan seorang daripada mereka memiliki gelaran Datuk.

“Hasil serbuan itu, kami merampas 300kg syabu yang diletakkan dalam bungkusan teh cina serta dua kilogram ekstasi dianggarkan bernilai RM10.8 juta.

“Kedua-dua jenis dadah berkenaan yang boleh menampung 600,000 penagih ditemui di dalam dua kenderaan di sebuah pasar raya di ibu kota ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Yahaya berkata, pihaknya turut menyita tujuh kenderaan, barang kemas dan wang tunai menjadikan keseluruhan sitaan serta rampasan berjumlah RM11.2 juta.

“Modus operandi sindiket ini yang aktif awal tahun ini adalah mendapatkan bekalan dadah dari utara Semenanjung untuk pasaran Lembah Klang serta negara jiran.

“Sindiket itu menggunakan kenderaan yang sudah diubah suai bagi membawa dadah berkenaan untuk mengaburi pihak berkuasa,” katanya.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati enam daripada lapan suspek ditahan termasuk individu bergelar Datuk berusia 61 tahun mempunyai rekod kes dadah.

“Hasil ujian saringan awal air kencing dilakukan pula mendapati enam daripada semua suspek berkenaan positif dadah jenis methaphetamin.

“Kami percaya individu bergelar Datuk terbabit adalah dalang sindiket berkenaan, namun siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Katanya, semua suspek direman selama tujuh hari bermula 3 hingga 9 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis Kuala Lumpur akan terus mengesan saki baki ahli sindiket berkenaan,” katanya.

Loading...
Terkini