comscore
Tumpuan :
Jenayah

DBKL Tutup Rumah Urut Disyaki Jalankan Kegiatan Pelacuran

Sebuah rumah urut di Wisma Setapak ditutup kerana disyaki menjalankan aktiviti pelacuran. FOTO: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur / Facebook

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bertindak menutup sebuah rumah urut di Wisma Setapak, Jalan Genting Klang, selepas premis berkenaan disyaki menjalankan kegiatan pelacuran.

DBKL dalam kenyataan di Facebook memaklumkan penutupan itu dilakukan dalam Operasi Tindakan Khas Ke Atas Premis Rumah Urut oleh Jabatan Penguatkuasaan DBKL, tengah hari tadi.

“Menerusi aduan awam, DBKL telah membuat siasatan serta risikan awal selama tiga hari dan mendapati berlaku aktiviti tidak bermoral di lokasi berkenaan. Hasil semakan di premis berkenaan, lima wanita tukang urut yang disyaki pekerja seks warganegara Vietnam telah diambil keterangan untuk proses dokumentasi,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Kenyataan itu memaklumkan tindakan penguatkuasaan dilakukan di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta mengikut bidang kuasa dan prosedur operasi standard (SOP) DBKL.

DBKL turut menyita 15 unit pelbagai peralatan premis seperti monitor, kamera litar tertutup (CCTV), perakam, kondom, minyak pelincir, ampilfier dan lain-lain peralatan.

Operasi ini juga  akan diteruskan dari semasa ke semasa. – BERNAMA

Loading...
Terkini